Monday, August 15, 2011

Lumrah Kehidupan

" Hidup tidak selalunya indah, kerana di situlah keindahan hidup" 
- Pahrol Mohd Juoi-



Kehidupan ini seperti roda. Kadang kita berada di atas, dan adakalanya kita akan berada di bawah. Hidup  kita tak selalunya bahagia sentiasa. Kadang-kadang kita akan diuji. Saat kita dikurniakan dengan nikmat dan kebahagiaan, bersyukurlah. Saat kita ditimpa ujian dan kesusahan, bersabarlah. Redhalah dengan setiap yang berlaku. Kerna di setiap apa yang berlaku punya hikmah yang tersendiri. Hanya Dia yang tahu. Kita hanya hambaNya. Usahlah merungut atau menyesal dengan apa yang berlaku. Terimalah segalanya dengan hati yang tenang dan berlapang dada. Ingatlah, Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar. Yakinlah dengan Allah. Pasti kau akan bahagia.

 Meski hidupmu dipenuhi onak, ranjau dan duri, anggaplah segalanya adalah untuk  menjadikanmu lebih matang dalam menghadapi kehidupan ini. Semakin Allah sayang pada hambaNya, semakin banyak ujian yang akan diberikannya. Oleh itu, bersyukurlah..Allah mengasihimu..Dia memerhatikanmu..Dia sedang menguji keimananmu padaNya. Dia juga ingin mengangkat darjatmu di sisiNya selain dosa-dosa mu juga diampunkan. Beruntunglah mereka yang di uji.

Bersangka baiklah dengan setiap ketentuanNya. Dia sentiasa memberi yang terbaik untuk kita. Dia bagi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Boleh jadi kamu menyukai sesuatu, tetapi hakikatnya ia tidak baik untukmu dan boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, tetapi hakikatnya ia baik untukmu. Sungguh, Allah mengetahui segala-galanya..( 2:216)

Hitunglah kesyukuranmu, bukan kesukaranmu. Ingatlah terlalu banyak nikmat dan kurniaan pemberian Allah yang jarang kita syukuri, namun bila kita diuji sedikit, terlalu banyak runggutan dan ngomelan yang keluar dari mulut kita. Sungguh..terlalu ramai manusia yang kufur akan nikmatNya, hanya segolongan kecil manusia yang benar-benar bersyukur iaitu yang sentiasa mentaati dan mengingati Allah sama ada ketika senang mahupun susah.

" Dan sungguh, Kami telah menempatkan kamu di bumi dan di sana Kami sediakan ( sumber) penghidupan untukmu. Tetapi sedikit sekali kamu bersyukur."
   ( Al-A'raf:10)

Bersabarlah dalam bersabar. Sabar itu sebahagian dari iman. Ingatlah..ganjaran sabar adalah SYURGA. Dengan keyakinan itu, penderitaan yang sedikit dan sementara di dunia mampu dihadapi kerana mengharapkan kenikmatan yang lebih baik dan berkekalan di Syurga. Sesungguhnya SABAR ITU INDAH.

Kita hanyalah makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat mengubah takdir yang telah ditentukan-Nya, namun kita mampu mengubah cara kita mentadbir hati dan fikiran kita. Hati perlulah disuburkan dengan keimanan dan ketaqwaan agar ia dapat menjadi raja yang juga dapat mengubah cara kita berfikir terhadap sesuatu yang terjadi dalam hidup kita. Apabila hati yang penuh dengan keimanan dan ketaqwaan yang menjadi raja, maka mudahlah untuk akal menjadi rakyat yang baik pada rajanya. Apabila akal telah ditakluk dengan keimanan dan ketaqwaan padaNya, maka lahirlah akal yang sentiasa berfikiran positif. Fikiran yang positif akan membentuk emosi yang stabil. Emosi yang stabil adalah jiwa yang tenang di saat menghadapi kesukaran,tiada ucapan keluh kesah,tiada penyesalan yang berpanjangan,  dan mampu tersenyum ketika ujian melanda dirinya.

 Namun jika nafsu yang merajai dalam diri..segalanya tidak bermakna lagi. Untuk itu,takluklah hatimu dengan keimanan dan ketaqwaan. Jangan biarkan nafsu yang memandu hidup kita..

"  Ketahuilah, bahawa di dalam jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik, maka baiklah seluruh jasad itu, dan bila ia rosak, maka rosaklah pada seluruh jasad. Ketahuilah, bahawa segumpal  daging itu adalah hati"
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)








No comments:

Post a Comment