Friday, February 24, 2012

Celikkan Kembali Mata Hati Itu...



Tiada yang sia-sia dalam setiap penciptaan dan kejadian yang berlaku dalam kehidupan kita. Segalanya terkandung hikmah yang sangat besar. Namun, manusia jarang menggunakan mata hatinya untuk memerhatikan keajaiban dan cantiknya aturan Allah itu. Manusia lebih suka memerhatikan menggunakan mata kasarnya sahaja tanpa memerhati dengan mata hati. Begitulah yang terjadi apabila iman di dalam diri semakin menyepi dari cinta Ilahi. Cinta pada dunia menyebabkan mata hati kita buta untuk memerhatikan keindahan dalam setiap penciptaan. Apa yang Allah ciptakan ada maksud tersirat yang perlu untuk difahami dan dihayati menggunakan segala pancaindera yang diberi. Dia beri kita mata agar kita melihat betapa agung dan hebatnya segala ciptaan-Nya. Setiap ciptaan-Nya ada sesuatu yang tersirat yang difahami menggunakan mata hati. Tapi bagaimana untuk melihat menggunakan mata hati jika mata itu buta? Mata itu tidak mampu lagi untuk melihat dari sudut pandangan mata Allah. .

"  Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati ( akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada"
(22:46)

Salah satu ayat-ayat cinta yang membenarkan hakikat tersebut. Apabila hati telah menjadi buta, segalanya sia-sia. Seperti mayat yang berjalan di atas muka bumi. Hati tidak lagi mampu untuk menerima kebenaran. Hidup hanya semata-mata memuaskan nafsu yang durjana.

Ingatlah, bukan rupa kita yang Dia pandang, tapi HATI. Hati kita adalah tempat pandangan Allah.

Ayuh..
Mari sama-sama kita bersihkan dan sucikan hati.  Karat-karat jahiliyah yang melekat dalam diri perlu dibersihkan segera. Kita tidak mahu menjadi seperti besi yang dibiarkan terdedah pada air dan udara, kemudiannya karat dan menjadi besi yang tidak berkualiti. Akhirnya, menjadi besi yang tidak ada gunanya pada orang lain kerana struktur binaannya yang rapuh.

Manusia jika dibiarkan berlarutan dengan dosa maka akan menjadi seperti besi yang tidak berguna. Jadi,  untuk menjadi manusia yang sentiasa berguna, perlulah disalut dengan cat keimanan dan ketakwaan agar sentiasa tegak, lurus dan berguna pada sekelilingnya.

Umar Al-Khatab RA adalah pemuda yang hebat semasa jahiliyahnya kemudian menjadi pemuda yang sangat hebat pada keislamannya. Ini terjadi akibat daripada pembersihan diri yang dilakukan iaitu bertaubat kepada Allah secara total dan bersungguh-sungguh. Pernah terjadi suatu saat, Umar ketawa sendirian kerana mengingatkan dosa-dosanya semasa jahiliyahnya iaitu ketika dia mengukir patung dan menyembahnya sedangkan patung itu tidak berkuasa apatah lagi tidak mampu menolongnya kerana berdirinya ia juga atas buatan orang lain. Betapa bodohnya manusia apabila jahil dalam beragama.

Tuntutan untuk bersihkan diri daripada segala karat jahiliyah sangatlah penting bagi seorang manusia tidak kira apa pun keadaanya. Kita tahu bahawa tanpa membersihkan diri terlebih dahulu maksiat-maksiat ini, kita tidak mampu untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik mahupun jauh lagi.
Maksiat, dosa atau karat-karat jahiliyah bukan sahaja berzina, minum arak, tidak menutup aurat, berjudi dan dosa-dosa yang kita anggap besar  pada pandangan mata. Namun, ia juga merupakan maksiat yang kita pandang remeh seperti membuang masa dengan menonton movie, laman sosial dan lepak bersama kawan-kawan, bercouple, hiburan yang melampau dan perkara-perkara yang tidak berfaedah atau tidak berguna langsung dalam kehidupan. Perbuatan sebegini hanya akan menjauhkan kita daripada Islam yang sebenar dan melalaikan kita daripada melakukan suruhan Allah SWT. Rasulullah tidak lupa mengingatkan kita bahawa,

 " Kalian harus berwaspada terhadap dosa kecil. Kerana kelak ia akan memupuk dalam diri seseorang dan membinasakannnya." ( HR Ahmad)

" Di antara ciri keislaman seseorang adalah meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat baginya."
( HR Tirmidhi)

Disokong juga oleh Firman Allah iaitu,

" Sungguh beruntung orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang yang menjauhkan dipada perbuatan dan perkataan yang tidak berguna"
(  Al-Mu'minun:1-3)

Untuk memberi kesedaran tentang kehadiran maksiat-maksiat ini, pentingnya untuk kita menghadiri majlis ilmu. Selagi mana kita tidak berusaha untuk menuntut ilmu agama seperti halaqah,usrah atau taklim yang boleh memberi kesedaran dan peringatan yang berterusan, kita tidak akan sedar betapa jahilnya kita terhadap larangan dan perintah Allah SWT. Setelah datangnya pengetahuan tentang itu, berusahalah untuk mengubah diri ke arah yang lebig baik dan  melakukan taubat menyesali perbuatan dosa  yang dilakukan.  Itulah namanya hidayah Allah.janganlah kita menjadi orang yang sudah mengetahui kebenaran tapi tidak terus berbuat yang disebutkan oleh Allah dalam firman-Nya:

"Belum tibakah waktunya orang-orang yang beriman untuk secara khusyuk mengingati Allah dan mematuhi kebenaran yang telah dwahyukan kepada mereka dan janganlah mereka berlaku seperti orang-orang yang menerima kitab sebelum ini, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak diantara mereka menjadi orang yang fasik"
( al-Hadid: 16)

Jika hati kita menjadi keras seperti batu dan karat jahiliyyah masih tidak dibersihkan, maka hati kita tidak mampu ditembusi oleh ilmu yang kita peroleh dimana-mana dan seberapa banyak pun. Seperti mana apa yang telah disebutkan oleh Imam As-Syafi'e,

" Sesungguhnya ilmu itu cahaya Allah dan cahaya Allah tidak akan menerangi hati seorang pendosa ( pelaku maksiat)"

Sebanyak mana pun kita menghadiri majlis ilmu tapi kalau tiada perubahan dalam diri, itu namanya sia-sia. Ini kerana, kita lebih suka menguumpulkan ilmu daripada mengamalkan sedikit daripada ilmu  yang telah kita pelajari. Kita hanya mahukan tahu daripada mahu. Berapa ramai yang kerap mendengar ceramah di masjid, sekolah, universiti dan dimana-mana pun, tetapi masih tidak mampu mengutip hasil daripada ilmu itu? Kita hanya meminjamkan telinga sahaja untuk mendengar tapi bukan meminjamkan hati untuk menerima dan beramal. Hal ini kerana, kita masih terhalang oleh maksiat dan dosa yang kita lakukan setiap hari.

Jadi untuk melakukan perbaikan diri dan menjadi orang beriman, kita seharusnya mengamalkan setiap ilmu yang kita pelajari itu walaupun sedikit demi sedikit dan secara berperingkat.

Melakukan amal soleh..

Setelah kita menyesali segala perbuatan dosa yang telah kita lakukan, isikan masa lapang dengan amalan yang bermanfaat dan lazimi diri dengan amal-amal soleh . Jika kita masih terbeban oleh maksiat dan dosa, maka amat susah untuk kita melakukan kebaikan kerana  kejahatan masih lagi menguasai diri. Ini kerana, kita masih menjadikan kejahatan adalah hiburan dan keseronokan. Maka sekarang, jadikanlah amal-amal soleh sebagai hiburan dan keseronokan yang berpanjangan. Setelah itu, kita tidak akan merasa bahawa kehjahatan tidak akan ada lagi ruang untuk mencelah. Seperti mana kata-kata Ibn Al-Qayyim,

"  Apabila seseorang telah disibukkan oleh kebaikan, maka dia tidak akan disibukkan dengan kejahatan."

Jika kita sibuk mencari cinta manusia, maka carilah cinta Allah. Jika kita sibuk membaca komen-komen di Facebook, maka sibukkanlah diri kita dengan membaca al-Quran. Jika kita sanggup menonton bola sepak  diwaktu satu pertiga malam, sanggupkan diri untuk bangun tahajud di waktu itu. Jika kita banyak membuang masa melepak disana-sini, isilah masa dengan aktiviti kuliah-kuliah ilmu. Jika kita sibuk mencari keburukan orang lain, carilah keburukan diri sendiri untuk diperbaiki. Sesuatu yang batil perlu ditinggalkan dan gantikanlah dengan sesuatu yang haq. Itulah yang dinamakan perbaikan. Jangan sekadar hanya dimulut mahu berubah, tapi hati tidak pernah bermujahadah dan anggota badan tidak pernah melangkah kearah kebaikan. Bayangkan jika maksiat dan kebaikan itu ibarat utara dan selatan. Jika kita ke arah utara, bermakna kita semakin menjauhi selatan. Maka, jika kita ke arah maksiat, kebaikan tidak akan mengikuti dan tertinggal ke belakang. Ingatlah bahawa kebaikan tidak akan pernah bersatu dengan kebatilan. Jika kebatilan tumbang, maka kebaikanlah yang akan mempelopori diri kita.

KUNCI UNTUK ISTIQAMAH DAN ISTIMRAR

Selain bertaubat dan menuntut ilmu, untuk menjadi istiqamah dalam berubah apatah lagi istimrar iaitu berterusan melakukan amal, kemudian semakin meningkatnya amal tersebut, amatlah payah jika kita tidak berada dalam lingkungan orang-orang yang mahukan perubahan diri  dan kedekatan kepada Allah SWT iaitu orang-orang soleh.

Hidup dalam dunia yang penuh dengan kemaksiatan dan fitnah memaksa kita untk terus mencari mereka yang disebutkan sebagai orang-orang yang masih memegang Islam ibarat bara api dan orang-orang yang dikatakan terasing oleh Rasulullah SAW:

" Sungguh Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing. Beruntunglah orang yang asing itu, iaitu orang yang melakukan perbaikan ketika manusia berada dalam kerosakan"
( HR Muslim)

Inilah kuncinya. Duduk bersama-sama mereka membuat kita langsung termotivasi untuk menjadi seperti mereka. Melihat muka mereka, terus mengingatkan kita kepada Allah. Berjalan bersama mereka terus membuat kita  merasa manisnya ukhuwah di jalan Allah. Beribadah bersama mereka terus menjadikan kita untuk beramal sepuasnya. Melihat mereka berdakwah, terus menjadikan kita terasa untuk melangkah lebih laju bersama-sama. Melihat kita bermaksiat, terus ditegur dengan hikmah.

Hidup bersama-sama kelompok ini menjadikan betapa bahagianya kehidupan kita. Mereka bukanlah orang yang banyak yang sentiasa mengajak kita kepada kesesatan seperti mana  friman Allah,

" Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang dibumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan dari jalan Allah."
( 6:116)

Tapi mereka adalah golongan sedikit yang sentiasa mengingatkan kita kepada Tuhan Pencipta Alam. Mereka golongan yang mengajar kita tentang ilmu, ukhuwah,dakwah, jihad dan istiqamah. Itulah mereka. Sudahkah kita bersama-sama kelompok-kelompok sebegini? Ayuh, mulakan daripada sekarang.

Diagnosis diri. Dosa musnahkan hati, ibadah menjernihkan hati.

Daripada  Abu Hurairah Abd ar-Rahman bin Sakhr RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi Dia melihat hati (niat) kamu.”





 lovesinfinity:

facequran. continue reading :D



2 comments:

  1. terima kasih n syahirah sudi singgah di blog ini. salam ukhuwah ye..

    ReplyDelete