Tuesday, January 8, 2013

Duhai Wanita...Dirimu Umpama Mawar Berduri...





Puteriku,
Sesungguhnya kejadianmu terlalu indah tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukannya diciptakan daripada kepala untuk disanjung dan dipuja, bukan pula diciptakan daripada kaki untuk dipijak dan dialasi serta dijadikan hamba sahaya. Lantaran daripada keindahan ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang mana harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Adakah semudah itu kau ingin menyerah diri pada sang kumbang?



Renunglah pada keindahan bunga mawar yang unggul terjaga berpagarkan duri sebagai bentengnya. Dari kejauhan keharumannya mencuri perhatian. Kilauan warnanya yang memancar indah menjadi tarikan. Namun, lantaran pagaran duri yang berbisa itu, sang kumbang tertunduk kagum terhadap keindahan yang terjaga hinggakan ia berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.



Puteriku,
Akuilah hakikat kejadian dirimu yang menjadi pelemah keimanan lelaki. Seandainya pakaian malu kau tanggalkan daripada tubuhmu dan perbatasan aurat kau pandang sebarangan, jadilah dirimu sekuntum bunga yang indah tapi sayangnya tidak berbisa kerana hilangnya duri. Kau tidak layak dimahkotakan sebagai si mawar berduri. Sesungguhnya utusan Allah ada mengatakan tentang bahaya dirimu.

"Tidak ada fitnah yang lebih besar setelah wafatku selain daripada fitnah yang berpunca daripada wanita"

Adakah kau mahu menjadi penyebab terhadap terhumbannya lelaki ke neraka? Adakah kau mahu menjadi penyebab berkurangnya seorang Adam yang sepatutnya menjadi pejuang agama? Adam yang sepatutnya memikirkan masalah ummah bukan imannya menjadi lemah disebabkan dirimu membawa fitnah?

indahnya wanita solehah




Ingatlah duhai puteriku sayang,
Ingatlah bahawa ciri-ciri wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya kecuali atas urusan yang diizinkan. Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Yang tertutup itu sangat indah! Alangkah baiknya jika kau memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal dan berharga buat kumbang yang terpilih yang telah dijanjikan Allah buatmu.

Indahnya hidup ini andai melayarinya dengan bernanungkan keredhaan Allah, bertunjang ilmu dan kebenaran, bersulam akhlak penuh menawan. Sesungguhnya wanita solehah itu dicemburui oleh bidadari syurga. Sesunggunya wanita solehah itu menjadi idaman setiap insan soleh bernama Adam.

“………sedangkan wanita yang baik itu untuk lelaki yang baik” Surah An Nur ayat 26.



Ya Allah jadikan kami bidadari syurga.








No comments:

Post a Comment