Saturday, September 24, 2011

Hadapilah segalanya dengan tenang..





Terkadang hidup dirasa terlalu panjang apabila dirundung dengan pelbagai masalah. Segala yang dilakukan serba tidak kena. Orang sekeliling menjadi mangsa keadaan dek kerana amukan jiwa dalam diri. Ingin saja terbang ke alam lain. Alam yang tidak ada sebarang masalah. Ingin saja dilepaskan semua beban dijiwa ke dalam lautan dalam agar ia tidak muncul lagi. Namun, itu hanyalah fantasi jiwa yang tidak mungkin akan menjadi realiti. Hidup perlu diteruskan walau apa pun yang terjadi kerana hidup di dunia ini adalah sebuah perjalanan menuju Tuhan. Di sepanjang perjalanan dihiasi dengan onak dan duri yang perlu ditempuhi dengan hati yang sabar dan tenang untuk sampai ke destinasi abadi. Segala yang terjadi dan menimpa diri adalah ketentuan Ilahi. Segalanya adalah untuk menguji keimanan dalam diri. Sejauh mana tahap kesabaran kita untuk menghadapainya dan sejauh mana pergantungan kita pada-Nya. Terkadang hilang kesabaran dalam diri apabila diuji dengan sesuatu yang tidak seiring dengan kehendak jiwa. Terkadang pelbagai rungutan yang keluar dari bibir kita terhadap takdir yang menimpa diri. Sehingga terlupa bahawa ia adalah aturan dan ketentuan Ilahi. Sedarlah wahai diri, kita hanyalah hambaNya. Kita memang layak, patut dan wajar untuk diuji. Manusia apabila diuji baru sedar diri. Saat itulah baru nak muhasabah diri. Baru nak berdoa padaNya. Baru nak ingat pada Allah. Ujian yang menimpa diri kita hakikatnya adalah tanda kasih sayang Allah pada kita. Allah tak nak kita terus hanyut. Allah tak nak biarkan kita terleka dengan dunia yang sementara ni. Dia nak kita kembali padaNya. Berdoa padaNya dan merintih padaNya. Allah sangat rindu pada rintihan hamba-hamba-Nya.
Beruntunglah bagi sesiapa yang diuji. Sesungguhnya Allah teramat-amat kasih dan sayang kepada hamba-hambaNya. Dia tahu apa yang menimpa kita. Dia tahu isi hati kita. Dia sangat dekat dengan kita meski kita tidak menyedarinya. Kadang-kadang kita rasa keseorangan,. Tiada siapa disisi kita. Tiada siapa yang dapat menjadi pendengar setia kita sehingga kita terlupa yang Allah itu Maha Mendengar. Dia yang sangat mendengar suara batin kita. Dia yang setia mendengar segala permasalahan kita. Allah tak pernah tinggalkan kita keseorangan. Allah sentiasa bersama dengan kita.
Oleh itu..kembalilah ke dalam diri, tanya hati, adakah kita telah menjadi sebaik-baik hamba kepada Nya. Adakah kita telah mempersembahkan yang terbaik untuk pencipta kita?
Hidup kita didunia ini hakikatnya seperti didalam pentas lakonan. Siapakah yang menjadi manusia terbaik amalannya semasa berada dipentas ini..( Al-Mulk:2).

No comments:

Post a Comment