Thursday, March 29, 2012

Tanda-tanda Kasih Sayang Allah..


  1. Suka untuk bertemu yang dikasihi secara terbuka dan terang-terangan di Darul salam. Tidak tergambar oleh kita bagaimana hati mengasihi seseorang melainkan suka untuk melihat dan berjumpa dengan yang dikasihi. Apabila diketahui bahawa untuk bertemu itu tidak mungkin tercapai melainkan dengan meninggalkan dunia dan mati, maka sepatutunya ia suka untuk mati yang pastinya sudah tidak boleh dielakkannya itu. Seorang pengasih tidak merasa penat untuk bermusafir dari tanah airnya menuju kediaman kekasihnya. Mati itu adalah kunci pertemuan dan pintu masuk kepada penyaksian. Rasulullah s.a.w bersabda: ertinya: " Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah suka bertemu dengannya".

  1.  Antara tandanya juga adalah dia mendahulukan apa yang dikasihi Allah berbanding apa yang dia kasihi secara zahir mahupun batin. Ia beriltizam dengan kesusahan amal, menjauhkan diri dari menurut kehendak nafsu, meninggalkan sifat malas, terus menerus mentaati Allah dan bertaqarrub  kepada Allah dengan amalan-amalan sunat. Sentiasa menuntut kelebihan darjat di sisi Allah seperti mana seseorang menuntut kedekatan hati dengan kekasihnya. Kadangkala Allah menyifatkan mereka yang berkasih sayang ini dengan satu ithar. Firman Allah, ertinya: " Mereka mengasihi orang yang berhijrah kepada mereka, di dalam dada mereka tidak ada apa-apa keperluan dari apa yang mereka berikan. Mereka mengutamakan  ( yang lain) berbanding dirinya sekalipun mereka pun  mempunyai keperluan tersendiri.

  1. Tenggelam dalam zikrullah. Lidahnya dan hatinya sentiasa mengingati Allah. Orang yang menyukai sesuatu tentu sekali akan banyak mengingatinya. Oleh sebab itu antara tanda-tanda kasihkan Allah, suka mengingatinya ( zikir), sukakan al-Quran kalamullah, sukakan Rasulullah s.a.w serta suka apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah.

  1. Kegembiraan dengan berkhalwat dengan Allah,munajatnya kepada Allah, sentiasa mentilawahkan kitab Allah. Dia juga sentiasa melakukan tahajud, menggunakan ketenangan dan keheningan malam untuk menghapus segala rintangan yang ada. Darjat cinta terendah adalah merasai kenikmatan berada bersama yang dikasihi dan mampu bermunajat kepada-Nya. Maka sesiapa yang tidur dan berbual-bual itu lebih seronok lebih baik kepadanya berbanding munajat kepada Allah, maka bagaimanakah nasib kasih sayangnya??

  1. Tidak bersedih di atas kehilangan apa-apa selain Allah. Lebih sedih dan pedih hatinya apabila berlalu setiap saat tanpa zikrullah dan tanpa mentaatinya. Selalu menghitung diri di atas kealpaan dengan mohon simpati, hisab diri dan juga taubat.

  1. Merasa nikmat dengan melakukan ketaatan dan tidak merasa  keberatan atau kepenatan. Kata al-Junaid: " Tanda orang yang mengasihi adalah berterusan aktiviti. Dengan syahwat fizikalnya lemah namun dengan hati dia tidak akanlemah".

  1. Merahmati dan mengasihi seluruh hamba Allah. Tegas terhadap seluruh musuh Allah dan sesiapa yang mengundang kebencian Allah. Firman Allah yang bermaksud : " Orang-orang yang tegas terhadap kuffar dan saling merahmati di antara mereka". Tidak menjejaskan mereka sebarang celaan manusia dan tidak ada sesuatu yang boleh mengalih kepada kemurkaan Allah.

  1. Kasihnya itu disertai takut di bawah kehebatan dan kebesaran Allah. Ada yang menyangka takut itu bertentangan dengan kasih. Sebenarnya itu tidak betul. Malah memahami kebesaran itu akan melahirkan perasaan hebat sebagaimana menyelami keindahan melahirkan rasa cinta. Khusus bagi orang yang bercinta itu ada beberapa ketakutan pada maqam cinta. Pertamanya: Takutkan beralih cinta. Lebih dahsyat dari itu takut terhijab cinta. Lebih dasyat dari itu lagi adalah takut menjauh diri. Makna-makna ini digambarkan oleh Allah di dalam surah Hud yang disifatkan oleh Rasulullah sebagai telah memutihkan kepala baginda s.a.w ertinya: " Hud telah memutihkan kepalaku". Ungkapan ini disebut oleh Rasulullah s.a.w ketika mendengan potongan ayat. Ertinya: Alangkah jauhnya ahli Madyan sebagaimana jauhnya kaum tsamud."

Pemerhatian terbesar pada alamat-alamat dan sebab-sebab ini ialah kebanyakannya itu adalah perbuatan-perbuatan dalam komunikasi kemanusiaan, berkait dengan masyarakat, manusia pada kehidupan dan akhlak mereka.

Saudaraku….adakah anda ingin menggapai cinta Allah??

Beriltizamlah dengan amalan-amalan fardu dan tambahkan dengan bekalan-bekalan sunat..ikutilah jejak langkah Nabi s.a.w….jadilah orang yang bermanfaat untuk orang lain. ..sertai mereka dalam kehidupan mereka…ziarahi mereka…belanjakan untuk mereka…berikan khidmat untuk mereka…isikanlah hajat dan keperluan mereka…masukkanlah kegembiraan dalam hati mereka.

Lakukanlah semua ini, nescaya Allah akan memanggil Jibril untuk memberitahu bahawa Dia mengasihi dirimu…..

Salam mujahadah dariku untuk menggapai cinta Allah..

Dipetik dari Majalah Mihwar..Rujukan Generasi Pewaris...


Tuesday, March 6, 2012

Dunia Ditawan Sang Pemberani..

\\

Alhamdulillah, segala puji bagi Ilahi yang telah memberikan kita nikmat kehidupan yang terlalu rencam. Selawat dan salam buat Rasul mulia yang telah menjadi rahmat kepada seluruh alam. Salam perjuangan kepada seluruh yang berani berdada dengan penguasa di seluruh belahan dunia.

Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia begitu lambat bergerak, lesu serta tidak berkutik dan tidak akan berubah! Mereka adalah aktor dipanggung dunia yang akan mencatur landskap sosio politik, dengan kepongahan mereka juga dunia menggelegak dengan pergolakan dan pertarungan. Tanpa anak muda dunia akan sesepi bintang dilangit malam atau tanah kuburan.

Anak muda adalah sekelompok manusia yang mengobrak kezaliman dan menggalang tugas memaknai kehidupan ini. Ya, ungkapan ini ada kebenarannya tersendiri apabila kita menyemak liputan sejarah mengenai episod perubahan politik dan sosial yang berlaku di seluruh dunia sejak zaman berzaman. Rsulullah SAW dibangkitkan dengan anak-anak muda yang berani menentang arus jahiliyah serta sanggup berdada dan menyinsing lengan dengan penguasa yang zalim. Madrasah Nabi SAW telah melahirkan ramai pemuda-pemuda dakwah seperti Mus'ab bin Umair, Talhah bin Ubaidillah, Zubair al Awwam, Saidina Abu Bakar, Uthman bin Affan, Arqam bin abi Arqam. Mereka adalah anak-anak muda yang terasuh dengan semangat yang kental oleh Baginda Nabi SAW.

Di Madinah juga menyaksikan kepahlawanan anak muda yang sentisa menjadi pendokong yang setia kepada Nabi SAW. Sosok kekar anak muda ini sentiasa muncul dan menjadi pemain utama di pertembungan Badar , Uhud Bir Maunah, Ahzab, Hunain, Thoif, Mut'ah, Tabuk dan puluhan perang yang telah bersimbah darah wangi syuhada. Peluh anak-anak muda pemberani ini dipakejkan pula dengan anak muda pentaksub ilmu yang sentiasa menghurungi majlis ilmu di Masjid Nabawi. Mereka mencatat dan merakam butiran ilmu dan akhirnya di zaman Khulafa ar Rasyidin menjadi sang pencerah  yang melata di belahan dunia Islam.

Zaman berzaman yang menali, sambung  menyambung akan menjadi rakaman langit sejarah bagaimana anak muda tidak pernah gagal menjadi penolong agama Allah. Mereka hadir diisaat Islam diterjah oleh musuh mereka sangat setia dipandu oleh ulama Rabbani. Bertempur dengan musuh Allah yang sentiasa mengintai peluang untuk membeaham orang beriman dan memusuhi Islam. Nah lihat..bagaimana Muhammad Al Qasim membuka India saat umurnya 17 tahun, juga Muhammad al-Fateh menawan kota Konstatinopel saat umur masih belasan tahun, sehingga kota agam itu direngkuh dibawah kekuasaan Islam dan akhirnya menjadi adijagat yang memayungi umat Islam selama 600 tahun.

Salahuddin al Ayubi, sang pembebas Palestin juga menoreh sejarah dengan dokongan ratusan ribu anak muda yang menghiasi malam dengan air mata berlinangan bermunajat kepada Allah. Tanah Isra' didakap kembali dengan siraman darah syuhada anak muda yang menyerbu tentera Salibiah ini dipersiapkan diri untuk menadi pembantu agama , bukan dengan angan-angan kosong yang berselimut dengan kesombongan yang membusung. Pekikan dan laungan takbir telah mengiringi kemenangan Islam membebaskan kembali al-Quds, namun tetap dengan bersikapadil terhadap musuh.

Sejarah dunia ini dilakarkan warnanya oleh anak-anak muda ini kerana mereka mempunyai kekuatan semangat, cita-cita, keazaman , idelisme untuk merubah dan menjadi agen perubah zaman. Langit sejarah mengarak awan hitam kaum penjarah, anak muda adalah pelangi yang tersembul indah menghabat mega hitam. Lukisan zaman ini begitu indah untuk dirakam walaupun dibayar dengan harga kesakitan anak muda pemberani.

Dipetik dari buku,
Pemuda Islam Yang Dijanjikan, Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.


Friday, February 24, 2012

Celikkan Kembali Mata Hati Itu...



Tiada yang sia-sia dalam setiap penciptaan dan kejadian yang berlaku dalam kehidupan kita. Segalanya terkandung hikmah yang sangat besar. Namun, manusia jarang menggunakan mata hatinya untuk memerhatikan keajaiban dan cantiknya aturan Allah itu. Manusia lebih suka memerhatikan menggunakan mata kasarnya sahaja tanpa memerhati dengan mata hati. Begitulah yang terjadi apabila iman di dalam diri semakin menyepi dari cinta Ilahi. Cinta pada dunia menyebabkan mata hati kita buta untuk memerhatikan keindahan dalam setiap penciptaan. Apa yang Allah ciptakan ada maksud tersirat yang perlu untuk difahami dan dihayati menggunakan segala pancaindera yang diberi. Dia beri kita mata agar kita melihat betapa agung dan hebatnya segala ciptaan-Nya. Setiap ciptaan-Nya ada sesuatu yang tersirat yang difahami menggunakan mata hati. Tapi bagaimana untuk melihat menggunakan mata hati jika mata itu buta? Mata itu tidak mampu lagi untuk melihat dari sudut pandangan mata Allah. .

"  Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati ( akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada"
(22:46)

Salah satu ayat-ayat cinta yang membenarkan hakikat tersebut. Apabila hati telah menjadi buta, segalanya sia-sia. Seperti mayat yang berjalan di atas muka bumi. Hati tidak lagi mampu untuk menerima kebenaran. Hidup hanya semata-mata memuaskan nafsu yang durjana.

Ingatlah, bukan rupa kita yang Dia pandang, tapi HATI. Hati kita adalah tempat pandangan Allah.

Ayuh..
Mari sama-sama kita bersihkan dan sucikan hati.  Karat-karat jahiliyah yang melekat dalam diri perlu dibersihkan segera. Kita tidak mahu menjadi seperti besi yang dibiarkan terdedah pada air dan udara, kemudiannya karat dan menjadi besi yang tidak berkualiti. Akhirnya, menjadi besi yang tidak ada gunanya pada orang lain kerana struktur binaannya yang rapuh.

Manusia jika dibiarkan berlarutan dengan dosa maka akan menjadi seperti besi yang tidak berguna. Jadi,  untuk menjadi manusia yang sentiasa berguna, perlulah disalut dengan cat keimanan dan ketakwaan agar sentiasa tegak, lurus dan berguna pada sekelilingnya.

Umar Al-Khatab RA adalah pemuda yang hebat semasa jahiliyahnya kemudian menjadi pemuda yang sangat hebat pada keislamannya. Ini terjadi akibat daripada pembersihan diri yang dilakukan iaitu bertaubat kepada Allah secara total dan bersungguh-sungguh. Pernah terjadi suatu saat, Umar ketawa sendirian kerana mengingatkan dosa-dosanya semasa jahiliyahnya iaitu ketika dia mengukir patung dan menyembahnya sedangkan patung itu tidak berkuasa apatah lagi tidak mampu menolongnya kerana berdirinya ia juga atas buatan orang lain. Betapa bodohnya manusia apabila jahil dalam beragama.

Tuntutan untuk bersihkan diri daripada segala karat jahiliyah sangatlah penting bagi seorang manusia tidak kira apa pun keadaanya. Kita tahu bahawa tanpa membersihkan diri terlebih dahulu maksiat-maksiat ini, kita tidak mampu untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik mahupun jauh lagi.
Maksiat, dosa atau karat-karat jahiliyah bukan sahaja berzina, minum arak, tidak menutup aurat, berjudi dan dosa-dosa yang kita anggap besar  pada pandangan mata. Namun, ia juga merupakan maksiat yang kita pandang remeh seperti membuang masa dengan menonton movie, laman sosial dan lepak bersama kawan-kawan, bercouple, hiburan yang melampau dan perkara-perkara yang tidak berfaedah atau tidak berguna langsung dalam kehidupan. Perbuatan sebegini hanya akan menjauhkan kita daripada Islam yang sebenar dan melalaikan kita daripada melakukan suruhan Allah SWT. Rasulullah tidak lupa mengingatkan kita bahawa,

 " Kalian harus berwaspada terhadap dosa kecil. Kerana kelak ia akan memupuk dalam diri seseorang dan membinasakannnya." ( HR Ahmad)

" Di antara ciri keislaman seseorang adalah meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat baginya."
( HR Tirmidhi)

Disokong juga oleh Firman Allah iaitu,

" Sungguh beruntung orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang yang menjauhkan dipada perbuatan dan perkataan yang tidak berguna"
(  Al-Mu'minun:1-3)

Untuk memberi kesedaran tentang kehadiran maksiat-maksiat ini, pentingnya untuk kita menghadiri majlis ilmu. Selagi mana kita tidak berusaha untuk menuntut ilmu agama seperti halaqah,usrah atau taklim yang boleh memberi kesedaran dan peringatan yang berterusan, kita tidak akan sedar betapa jahilnya kita terhadap larangan dan perintah Allah SWT. Setelah datangnya pengetahuan tentang itu, berusahalah untuk mengubah diri ke arah yang lebig baik dan  melakukan taubat menyesali perbuatan dosa  yang dilakukan.  Itulah namanya hidayah Allah.janganlah kita menjadi orang yang sudah mengetahui kebenaran tapi tidak terus berbuat yang disebutkan oleh Allah dalam firman-Nya:

"Belum tibakah waktunya orang-orang yang beriman untuk secara khusyuk mengingati Allah dan mematuhi kebenaran yang telah dwahyukan kepada mereka dan janganlah mereka berlaku seperti orang-orang yang menerima kitab sebelum ini, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak diantara mereka menjadi orang yang fasik"
( al-Hadid: 16)

Jika hati kita menjadi keras seperti batu dan karat jahiliyyah masih tidak dibersihkan, maka hati kita tidak mampu ditembusi oleh ilmu yang kita peroleh dimana-mana dan seberapa banyak pun. Seperti mana apa yang telah disebutkan oleh Imam As-Syafi'e,

" Sesungguhnya ilmu itu cahaya Allah dan cahaya Allah tidak akan menerangi hati seorang pendosa ( pelaku maksiat)"

Sebanyak mana pun kita menghadiri majlis ilmu tapi kalau tiada perubahan dalam diri, itu namanya sia-sia. Ini kerana, kita lebih suka menguumpulkan ilmu daripada mengamalkan sedikit daripada ilmu  yang telah kita pelajari. Kita hanya mahukan tahu daripada mahu. Berapa ramai yang kerap mendengar ceramah di masjid, sekolah, universiti dan dimana-mana pun, tetapi masih tidak mampu mengutip hasil daripada ilmu itu? Kita hanya meminjamkan telinga sahaja untuk mendengar tapi bukan meminjamkan hati untuk menerima dan beramal. Hal ini kerana, kita masih terhalang oleh maksiat dan dosa yang kita lakukan setiap hari.

Jadi untuk melakukan perbaikan diri dan menjadi orang beriman, kita seharusnya mengamalkan setiap ilmu yang kita pelajari itu walaupun sedikit demi sedikit dan secara berperingkat.

Melakukan amal soleh..

Setelah kita menyesali segala perbuatan dosa yang telah kita lakukan, isikan masa lapang dengan amalan yang bermanfaat dan lazimi diri dengan amal-amal soleh . Jika kita masih terbeban oleh maksiat dan dosa, maka amat susah untuk kita melakukan kebaikan kerana  kejahatan masih lagi menguasai diri. Ini kerana, kita masih menjadikan kejahatan adalah hiburan dan keseronokan. Maka sekarang, jadikanlah amal-amal soleh sebagai hiburan dan keseronokan yang berpanjangan. Setelah itu, kita tidak akan merasa bahawa kehjahatan tidak akan ada lagi ruang untuk mencelah. Seperti mana kata-kata Ibn Al-Qayyim,

"  Apabila seseorang telah disibukkan oleh kebaikan, maka dia tidak akan disibukkan dengan kejahatan."

Jika kita sibuk mencari cinta manusia, maka carilah cinta Allah. Jika kita sibuk membaca komen-komen di Facebook, maka sibukkanlah diri kita dengan membaca al-Quran. Jika kita sanggup menonton bola sepak  diwaktu satu pertiga malam, sanggupkan diri untuk bangun tahajud di waktu itu. Jika kita banyak membuang masa melepak disana-sini, isilah masa dengan aktiviti kuliah-kuliah ilmu. Jika kita sibuk mencari keburukan orang lain, carilah keburukan diri sendiri untuk diperbaiki. Sesuatu yang batil perlu ditinggalkan dan gantikanlah dengan sesuatu yang haq. Itulah yang dinamakan perbaikan. Jangan sekadar hanya dimulut mahu berubah, tapi hati tidak pernah bermujahadah dan anggota badan tidak pernah melangkah kearah kebaikan. Bayangkan jika maksiat dan kebaikan itu ibarat utara dan selatan. Jika kita ke arah utara, bermakna kita semakin menjauhi selatan. Maka, jika kita ke arah maksiat, kebaikan tidak akan mengikuti dan tertinggal ke belakang. Ingatlah bahawa kebaikan tidak akan pernah bersatu dengan kebatilan. Jika kebatilan tumbang, maka kebaikanlah yang akan mempelopori diri kita.

KUNCI UNTUK ISTIQAMAH DAN ISTIMRAR

Selain bertaubat dan menuntut ilmu, untuk menjadi istiqamah dalam berubah apatah lagi istimrar iaitu berterusan melakukan amal, kemudian semakin meningkatnya amal tersebut, amatlah payah jika kita tidak berada dalam lingkungan orang-orang yang mahukan perubahan diri  dan kedekatan kepada Allah SWT iaitu orang-orang soleh.

Hidup dalam dunia yang penuh dengan kemaksiatan dan fitnah memaksa kita untk terus mencari mereka yang disebutkan sebagai orang-orang yang masih memegang Islam ibarat bara api dan orang-orang yang dikatakan terasing oleh Rasulullah SAW:

" Sungguh Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing. Beruntunglah orang yang asing itu, iaitu orang yang melakukan perbaikan ketika manusia berada dalam kerosakan"
( HR Muslim)

Inilah kuncinya. Duduk bersama-sama mereka membuat kita langsung termotivasi untuk menjadi seperti mereka. Melihat muka mereka, terus mengingatkan kita kepada Allah. Berjalan bersama mereka terus membuat kita  merasa manisnya ukhuwah di jalan Allah. Beribadah bersama mereka terus menjadikan kita untuk beramal sepuasnya. Melihat mereka berdakwah, terus menjadikan kita terasa untuk melangkah lebih laju bersama-sama. Melihat kita bermaksiat, terus ditegur dengan hikmah.

Hidup bersama-sama kelompok ini menjadikan betapa bahagianya kehidupan kita. Mereka bukanlah orang yang banyak yang sentiasa mengajak kita kepada kesesatan seperti mana  friman Allah,

" Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang dibumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan dari jalan Allah."
( 6:116)

Tapi mereka adalah golongan sedikit yang sentiasa mengingatkan kita kepada Tuhan Pencipta Alam. Mereka golongan yang mengajar kita tentang ilmu, ukhuwah,dakwah, jihad dan istiqamah. Itulah mereka. Sudahkah kita bersama-sama kelompok-kelompok sebegini? Ayuh, mulakan daripada sekarang.

Diagnosis diri. Dosa musnahkan hati, ibadah menjernihkan hati.

Daripada  Abu Hurairah Abd ar-Rahman bin Sakhr RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh badan dan rupa paras kamu, tetapi Dia melihat hati (niat) kamu.”





 lovesinfinity:

facequran. continue reading :D



Friday, December 23, 2011

Suratan Atau Kebetulan????


Kembalilah..

kembalilah wahai insan yang berdosa..sesungguhnya kita hanyalah manusia biasa..yang tidak terlepas dari salah dan dosa..sesungguhnya Allah Maha Pengampun..janganlah sesekali kita berputus asa dengan rahmat-Nya..