Wednesday, September 28, 2011

Kita Hanya Manusia Biasa



Kita hanya manusia biasa
Yang sering melakukan dosa
Kerna kita bukan malaikat
Yang terpelihara dari membuat maksiat
Untuk itu..kita perlu kuat
Untuk bentengi diri dari perkara jahat

Kita hanya manusia biasa
Yang sering lalai dan alpa
Iman di hati perlulah diperkasa
Agar kita tidak mudah lupa

Kita hanya manusia biasa
Yang sering terpesona dengan dunia
Sedarlah wahai manusia
Kehidupan di dunia hanyalah fana

Kita hanyalah manusia biasa
Yang tidak terlepas dari salah dan silap
Untuk itu,peliharalah hubungan sesama manusia
Agar kita semakin erat

Kita hanya manusia biasa
Yang sering tersasar di jalanNya
Dosa dan maksiat jadi perkara biasa
Yang menyebabkan kita semakin jauh pada-Nya

Kita hanya manusia biasa
Yang sering melanggar perintah Ilahi
Namun,janganlah berputus asa
Kerna Allah Maha Mengasihi

Kita hanya manusia biasa
Yang sering ternoda
Ingatlah Dia yang Maha Esa
Walau di mana kita berada

Kita hanya manusia biasa
Yang lemah dan tak berdaya
Pohonlah pada Yang Maha Kuasa
Agar diri diberi hidayah

Kita hanya manusia biasa
Yang seringkali tersesat
Insaflah wahai manusia
Sesungguhnya Allah sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya..
Selagi jasad dan roh belum berpisah
Dan selagi matahari belum terbit dari barat..

Janganlah sesekali kita berputus asa
Kerna Dia sentiasa menerima taubat
Walau diri memikul segunung dosa

Betapa luasnya rahmat Tuhan buat hambaNya
Kerna rahmat-Nya melebihi kemurkaan-Nya
Mohonlah keampunan pada Ilahi
Atas segala dosa dalam diri
Agar diri sentiasa dirahmati Ilahi
Sehingga nyawa dihujung diri
Dan sehingga ke akhirnya..

Tuesday, September 27, 2011

Pasti Terbaik..

Terkadang kita memiliki sejuta harapan & keinginan yang sudah tersusun dan tertata rapi. Berbagai tindakan dan sikap yang penuh semangat menghiasi hari-hari kita demi tercapainya harapan dan impian itu. Mulai dari untaian doa yang penuh harap pada Yang Maha Kuasa agar semua yang diinginkan dapat tercapai dan usaha yang keras dengan segenap potensi dikeluarkan. Namun apa yang terjadi?

Ada yang memang yang berhasil tapi ada juga yang gagal kerana tidak sesuai dengan yang diharapkan selama ini..

Sahabat…
Kita hamba-Nya yang sangat lemah..tidak mengetahui akhir dan akibat dari setiap urusan..

Mungkin kita bisa mengatur dan merancang sebuah urusan yang baik menurut kita, tetapi ternyata urusan itu barakibat buruk bagi kita..

Allah sudah merancang kehidupan kita dengan sebaik-baiknya sehingga apa pun yang kita alami..itulah yang terbaik buat kita..

Tanamkan dalam diri bahawa setiap detik dalam  kehidupan kita adalah kehidupan yang sangat indah bagi hidup kita..

Tidak boleh ada penyesalan, rasa keluh kesah, merasa tidak sebahagia orang lain, dan sikap yang menyalahkan takdir kehidupan..

Hadapi saja kehidupan ini dengan selalu berharap dan bersandar pada-Nya..

Jadikan apa pun usaha yang kita lakukan dalam rangka beribadah pada-Nya sehingga apapun hasil yang diperoleh..

Pasti itulah yang TERBAIK buat diri kita..

Saturday, September 24, 2011

Hadapilah segalanya dengan tenang..





Terkadang hidup dirasa terlalu panjang apabila dirundung dengan pelbagai masalah. Segala yang dilakukan serba tidak kena. Orang sekeliling menjadi mangsa keadaan dek kerana amukan jiwa dalam diri. Ingin saja terbang ke alam lain. Alam yang tidak ada sebarang masalah. Ingin saja dilepaskan semua beban dijiwa ke dalam lautan dalam agar ia tidak muncul lagi. Namun, itu hanyalah fantasi jiwa yang tidak mungkin akan menjadi realiti. Hidup perlu diteruskan walau apa pun yang terjadi kerana hidup di dunia ini adalah sebuah perjalanan menuju Tuhan. Di sepanjang perjalanan dihiasi dengan onak dan duri yang perlu ditempuhi dengan hati yang sabar dan tenang untuk sampai ke destinasi abadi. Segala yang terjadi dan menimpa diri adalah ketentuan Ilahi. Segalanya adalah untuk menguji keimanan dalam diri. Sejauh mana tahap kesabaran kita untuk menghadapainya dan sejauh mana pergantungan kita pada-Nya. Terkadang hilang kesabaran dalam diri apabila diuji dengan sesuatu yang tidak seiring dengan kehendak jiwa. Terkadang pelbagai rungutan yang keluar dari bibir kita terhadap takdir yang menimpa diri. Sehingga terlupa bahawa ia adalah aturan dan ketentuan Ilahi. Sedarlah wahai diri, kita hanyalah hambaNya. Kita memang layak, patut dan wajar untuk diuji. Manusia apabila diuji baru sedar diri. Saat itulah baru nak muhasabah diri. Baru nak berdoa padaNya. Baru nak ingat pada Allah. Ujian yang menimpa diri kita hakikatnya adalah tanda kasih sayang Allah pada kita. Allah tak nak kita terus hanyut. Allah tak nak biarkan kita terleka dengan dunia yang sementara ni. Dia nak kita kembali padaNya. Berdoa padaNya dan merintih padaNya. Allah sangat rindu pada rintihan hamba-hamba-Nya.
Beruntunglah bagi sesiapa yang diuji. Sesungguhnya Allah teramat-amat kasih dan sayang kepada hamba-hambaNya. Dia tahu apa yang menimpa kita. Dia tahu isi hati kita. Dia sangat dekat dengan kita meski kita tidak menyedarinya. Kadang-kadang kita rasa keseorangan,. Tiada siapa disisi kita. Tiada siapa yang dapat menjadi pendengar setia kita sehingga kita terlupa yang Allah itu Maha Mendengar. Dia yang sangat mendengar suara batin kita. Dia yang setia mendengar segala permasalahan kita. Allah tak pernah tinggalkan kita keseorangan. Allah sentiasa bersama dengan kita.
Oleh itu..kembalilah ke dalam diri, tanya hati, adakah kita telah menjadi sebaik-baik hamba kepada Nya. Adakah kita telah mempersembahkan yang terbaik untuk pencipta kita?
Hidup kita didunia ini hakikatnya seperti didalam pentas lakonan. Siapakah yang menjadi manusia terbaik amalannya semasa berada dipentas ini..( Al-Mulk:2).

Tuesday, August 16, 2011

Cerita Semalam


Semalam..ada cerita yang indah yang berlaku dalam perjalanan hidupku. Aku terasa sangat bahagia. Antara perkara yang membahagiakan aku adalah apabila bersama kanak-kanak. Bagiku, mereka adalah golongan utusan tuhan buat membahagiakan umat. Keletah mereka yang sangt comel menghilangkan gundah gulana dihati yang sedang berduka, menceriakan hari-hari yang suram, membahagiakan hati-hati yang kesepian..kerna mereka adalah anugerah tuhan yang teramat bernilai. Kehadiran mereka menambah seri buat pasangan Adam dan Hawa yang telah mendirikan rumah tangga.

Takdir yang tidak terduga. Sesungguhnya susunan Allah itu sangat cantik. Kita hanya mampu merancang tapi Dia penentu segala. Cerita semalam adalah perkara diluar jangkaan dan rancanganku. Sebenarnya, aku ditawarkan oleh seorang akhwat untuk berkhidmat sebagai fasilitator bagi program remaja dan ramadhan yang dijalankan di sebuah masjid di negeri Pulau Pinang. Aku dengan rela hati menerima tawaran tersebut memandangkan tiada halangan pada waktu itu. Dan memang aku tidak boleh menolak tawaran itu sesuka hati tanpa punya alasan yang kukuh memandangkan gelaran da'ie yang telah diberikan oleh Allah padaku oleh kerna aku seorang muslim yang telah melafazkan syahadah dan perjanjianku padaNya. Tugas ini adalah amanah yang perlu aku pikulkan selagi nyawa dikandung badan.

Dan dalam masa yang sama, seorang akhwat amat memerlukan bantuan seseorang untuk menjaga anaknya kerna seruan dakwah memerlukannya menghadirkan diri dalam sebuah program khusus buat para da'ie dikalangan para pensyarah yang dijalankan di Bangi.

Perasaan serba salah menyelubungi diri. Dilema.

Antara menjadi fasilitator dan babysitter…

Setelah kedua-duanya difikirkan dan ditimbang mana yang lebih utama, keputusan dibuat. Aku memilih untuk menjadi babysitter. Alasannya mungkin kerna jumlah fasilitator  yang ada mungkin sudah mencukupi. Lagi pulak, diri ini dalam keadaan tidak suci ( period)  memandangkan program remaja dan ramadhan itu dijalankan di dalam masjid. Dan terakhir..mungkin kerna jiwa aku lebih dekat dengan kanak-kanak dan ia juga dalam bidangku.

Aku serahkan keputusan ini padaNya. Biarlah Dia menentukan segalanya. Meski tidak pernah mengenali akhwat tersebut, aku nekad dengan keputusan ini. Hanya redha Allah yang ingin ku tuju. Bak kata Prof. Muhaya, sebelum kita melakukan sesuatu, cakap pada diri..Ya Ilahi..redhaMu yang kutuju,kurniakan aku ma'rifat mengenaliMu agar bertambah cintaku padaMu..actually panjang lagi, tapi ayat ni je yang sempat ditangkap ketika mendengar radio siaran ulangan bersama Prof Muhaya pagi tadi. Beliau merupakan antara insan yang menjadi inspirasi hidupku. Dan apa yang aku ingat kata-katanya.." Kalau kita membantu orang yang sangat memerlukan bantuan, Allah akan membantu kita dan memudahkan urusan kita'' kata-kata sakti yang dari mulut beliau sangat positif dan sangat bermakna buatku.

" jangan cari penghargaan manusia, tapi carilah redha Allah dalam hidup kita, nescaya hidup kita akan bahagia.."

"Jangan kejar cita-cita, tapi kejarlah makna hidup"

"Lakukan lima perkara setiap hari..senyum,salam, sopan, santun, sapa"

"Ciri-ciri orang yang gagal..merungut, menyesal, menyalahkan"

"Tiada masalah dalam hidup ini, yang ada hanyalah cabaran"

"Apa yang kita baca,tengok,dengar akan menentukan siapa kita pada masa akan datang"

Banyak lagi mutiara hikmah yang lahir dari mulutnya terjemahan hatinya yang boleh dijadikan panduan dalam hidup kita. Sentiasalah positif dalam hidup kita. Walau apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Tiba-tiba terkeluar topik pulak. Hehe. Tapi takpe..peringatan bersama..semoga ia bermakna..

Keputusan tersebut disambut baik oleh akhwat tersebut. Tapi apa yang merisaukan hatinya adakah anaknya dapat menyesuaikan diri denganku kerna anaknya yang bernama Aleeya itu sangat manja orangnye. Tambah-tambah dengan abinya. Aku hanya bertawakkal. Moga Aleeya dapat menyesuaikan dirinya denganku. Bak pepatah Melayu..Tak kenal, maka tak cinta.

Alhamdulillah..dia dapat menerima kehadiranku sebagai babysitternya dengan baik.

Kami bertolak pada pukul 3 pagi dari Penang. Ketika itu, anak-anak akhwat tersebut masih lena diulit mimpi yang indah.  Ku lihat senyuman terukir dibibir Anas iaitu adik kepada Aleeya. Sangat cute dan comel. Anas yang berusia dalam lingkungan setahun itu tidak banyak kerenah. Hanya akan merengek apabila lapar dan mengantuk.

Pada pukul 4 pagi, pemandu perjalanan selaku suami kepada akhwat tersebut singgah di R&R untuk merehatkan diri dan menghilangkan mengantuk. Yela, drive pagi-pagi buta. Mana tak mengantuk. Kereta yang dipandunya hampir terbabas. Tapi,syukur tidak berlaku apa-apa.  Setelah itu, kami terus bersahur disitu. Pada saat itulah aku mula menyesuaikan diri dengan Aleeya dan bertaaruf dengan lebih mendalam dengan akhwat tersebut selaku ummi kepada Aleeya dan Anas. Aku memanggilnya dengan gelaran Kak Tun. Nama yang sudah sinonim dengan dirinya.

Perjalanan diteruskan sehingga tiba ke destinasi yang ingin dituju. Aku dan Aleeya diletakkan di rumah salah seorang akhwat di Bangi. Aleeya seperti tahu bahawa dirinya akan ditinggalkan. Dia memeluk erat abinya ketika berada di rumah itu. Akhirnya umminya memujuknya dengan membawanya ke bilik atas rumah dua tingkat itu dan memasang rancangan kegemaran kanak-kanak pada hari ini iaitu Upin dan Ipin. Ketika  Aleeya leka menonton kartun kegemaranya, umminya meninggalkannya. Bermulalah episod aku dan Aleeya. Alhamdulillah, dia dapat menyesuaikan diri denganku. Dia begitu teruja dengan rancangan upin ipin walaupun telah berkali-kali  menontonnya. Skrip rancangan itu telah dihafalnya. Meski masih belum pandai berbicara, tapi dia boleh mengajuk sesetengah ayat upin dan ipin. Aku tertawa sendirian melihat telatahnya. Sambil melayan teletahnya aku membaca sebuah novel yang bertajuk  Daun Pun Berzikir karya Taufiq habiburrahman keluaran PTS.

Tidak beberapa lama kemudian, mata terasa semakin berat seperti ada ketulan-ketulan batu yang besar di kelopak mataku ini. Aku lantas berbaring sambil meneruskan pembacaanku. Ketika mata ini hampir terlelap, tiba-tiba Aleeya menghampiriku dan berbaring disebelahku sambil kepalanya diletakkan di atas lengan ku..tak sangka dan terkejut. Memang Aleeya sangat manja. Terharu pun ada. Hehe..sangat sweet bila dikenangkan kembali saat itu. Aleeya memang seorang kanak-kanak yang sangat comel. Dia memiliki sepasang mata yang besar dan sangat indah. Bibirnya pula halus munggil. Pipinya yang gebu dan tembam menambahkan kecomelannya. Aku lantas memeluknya seerat mungkin. Perasaan sayang padanya mula bercambah dalam diri.

Ketika terjaga, dia merengek sekejap. Biasalah..budak-budak bila baru bangun tidur. Mungkin terkejut kot. Aku terus memandikannya dan membawanya turun. Rupa-rupanya ada bibik dalam rumah itu. Dia dengan rela hati, memasakkan bubur nasi untuk Aleeya. Mungkin sebab lapar, Aleeya makan begitu banyak sekali. Dua pinggan bubur dia boleh habiskan. Bukan itu sahaja, nasi pun dilantaknya selepas itu. Susah nak cari budak yang berumur dua tahun makan sebegitu banyak sekali seperti Aleeya. Huhu..aleeya..aleeya..yang tak tahannya, dia tak leh berpisah langsung dengan aku, nak letak pinggan kat dapur pun kena bawak dia sekali. Yang paling susah bila nak masuk toilet, terpaksalah tahan hajat sebab tak nak biar Aleeya tinggal seorang diri.  Manja kan Aleeya.

Dah nak petang, baru ummi dan abi Aleeya datang. Kami terus bergerak ke UKM. Zauj kak Ton menyewa bilik dalam kolej di sana untuk semalam.  Aku rasa agak segan. Yela, aku kan anak dara. Tiba-tiba rasa macam mengganggu pulak pasangan suami isteri tersebut. Aku mula mencari jalan dan idea untuk keluar dari masalah ni.

Lantas keputusan dibuat. Aku ingin bermalam di rumah akhwat. Kebetulan ada rumah akhwat yang berhampiran dengan UKM. Dapat jugak melepaskan kerinduan dengan sahabat-sahabat seperjuangan.

Selepas solat terawikh, aku bergerak ke sana dengan dihantar oleh mereka dan diiringi oleh sahabat baikku yang telah lama menungguku di masjid UKM. Kami mengekorinya dari belakang.

Alhamdulillah..dengan izinNya kami sampai di MT ( nama gelaran buat rumah akhwat tersebut) dengan selamat..satu beban dijiwaku terlerai.

Alangkah bahagianya hati apabila dapat bertemu dengan akhwat yang telah sekian lama tidak bertemu.
Rupa-rupanya ramai akhwat yang bermalam disitu pada hari itu. Sangat seronok. Meski tidak dapat berbual panjang, pertemuan itu sangat indah bagiku.Ia adalah hadiah terindah Allah buatku. Hadiah persahabatan. Hadiah kasih-sayang. Yang didasari atas iman.

" Ukhuwah itu indah andai ia kerna Allah"

Sebelum berpisah, salah seorang sahabatku menghadiahkanku cendehati yang sangat comel. Ada bentuk love. Ia sebagai tanda kasih-sayang dalam persahabatan kami. Terharu sangat..T_T.
Terima kasih ukhti..

Sebelum balik, Kak Tun singgah di sebuah kedai tudung. Ada banyak pilihan tudung yang cantik dan menepati syariat. Kebetulan, aku juga ingin mencari sehelai tudung untuk dipadankan dengan baju raya yang telah dibeli oleh mak cik aku. Alhamdulillah..tudung yang ingin dicari ada disitu. Menepati pilihan hati ini. Banyak juga tudung yang dibeli oleh Kak Tun. Lagipun k. Ton memang menjadi peniaga tudung labuh di Penang. Jadi, dia menyarankan agar tudung yang aku beli dibayar sekali dengan tudung-tudung yang dibelinya agar dapat potongan harga. Agak lama juga kami di dalam kedai itu. Memandangkan Anas sudah menangis, kami perlu cepat-cepat keluar dari kedai itu. Biasalah, kalau orang perempuan bershopping..tak sah kalau tak berjam-jam. Hehe. Orang lelaki memang  kena banyak bersabar la dalam hal ni.

Sepanjang perjalanan pulang, banyak juga yang aku borakkan bersama Kak Tun. Aku dapat mengenalinya dengan lebih mendalam. Dalam pengamatanku, dia memang seorang wanita yang hebat. Meskipun bergelar wanita berkerjaya, tidak menghalangnya untuk aktif dalam dunia dakwah dan tarbiyah. Beliau telah ditarbiyah sejak sekolah lagi. Mungkin kerna usia tarbiyah yang telah matang membawanya menjadi sebegitu disamping bersama suami yang sefikrah. 

Aku panjatkan kesyukuran pada Ilahi atas suratan takdir ini. Banyak yang aku dapat pelajari sepanjang menggalas tanggungjawab tersebut. Ia akan menjadi memori indah dalam hidupku.

Lagi satu perkara yang buat aku terharu adalah, aku dihadiahkan oleh Kak Tun dua pasang tudung. Tudung tu memang tudung yang dicari-cari selama ini. Alhamdulillah…

Kesimpulan yang dapat  disimpulkan adalah..kita merancang, Dia juga merancang..dan sesungguhnya perancanganNya adalah yang terbaik..

Bersyukurlah atas segala nikmat kurniaanNya..bersabarlah atas ujian yang tiba dan redhalah dengan segala ketetapanNya..




Moga kebahagiaan menjadi milik kita..

Rindu sangat kat Aleeya..huhu






Monday, August 15, 2011

Lumrah Kehidupan

" Hidup tidak selalunya indah, kerana di situlah keindahan hidup" 
- Pahrol Mohd Juoi-



Kehidupan ini seperti roda. Kadang kita berada di atas, dan adakalanya kita akan berada di bawah. Hidup  kita tak selalunya bahagia sentiasa. Kadang-kadang kita akan diuji. Saat kita dikurniakan dengan nikmat dan kebahagiaan, bersyukurlah. Saat kita ditimpa ujian dan kesusahan, bersabarlah. Redhalah dengan setiap yang berlaku. Kerna di setiap apa yang berlaku punya hikmah yang tersendiri. Hanya Dia yang tahu. Kita hanya hambaNya. Usahlah merungut atau menyesal dengan apa yang berlaku. Terimalah segalanya dengan hati yang tenang dan berlapang dada. Ingatlah, Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar. Yakinlah dengan Allah. Pasti kau akan bahagia.

 Meski hidupmu dipenuhi onak, ranjau dan duri, anggaplah segalanya adalah untuk  menjadikanmu lebih matang dalam menghadapi kehidupan ini. Semakin Allah sayang pada hambaNya, semakin banyak ujian yang akan diberikannya. Oleh itu, bersyukurlah..Allah mengasihimu..Dia memerhatikanmu..Dia sedang menguji keimananmu padaNya. Dia juga ingin mengangkat darjatmu di sisiNya selain dosa-dosa mu juga diampunkan. Beruntunglah mereka yang di uji.

Bersangka baiklah dengan setiap ketentuanNya. Dia sentiasa memberi yang terbaik untuk kita. Dia bagi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Boleh jadi kamu menyukai sesuatu, tetapi hakikatnya ia tidak baik untukmu dan boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, tetapi hakikatnya ia baik untukmu. Sungguh, Allah mengetahui segala-galanya..( 2:216)

Hitunglah kesyukuranmu, bukan kesukaranmu. Ingatlah terlalu banyak nikmat dan kurniaan pemberian Allah yang jarang kita syukuri, namun bila kita diuji sedikit, terlalu banyak runggutan dan ngomelan yang keluar dari mulut kita. Sungguh..terlalu ramai manusia yang kufur akan nikmatNya, hanya segolongan kecil manusia yang benar-benar bersyukur iaitu yang sentiasa mentaati dan mengingati Allah sama ada ketika senang mahupun susah.

" Dan sungguh, Kami telah menempatkan kamu di bumi dan di sana Kami sediakan ( sumber) penghidupan untukmu. Tetapi sedikit sekali kamu bersyukur."
   ( Al-A'raf:10)

Bersabarlah dalam bersabar. Sabar itu sebahagian dari iman. Ingatlah..ganjaran sabar adalah SYURGA. Dengan keyakinan itu, penderitaan yang sedikit dan sementara di dunia mampu dihadapi kerana mengharapkan kenikmatan yang lebih baik dan berkekalan di Syurga. Sesungguhnya SABAR ITU INDAH.

Kita hanyalah makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat mengubah takdir yang telah ditentukan-Nya, namun kita mampu mengubah cara kita mentadbir hati dan fikiran kita. Hati perlulah disuburkan dengan keimanan dan ketaqwaan agar ia dapat menjadi raja yang juga dapat mengubah cara kita berfikir terhadap sesuatu yang terjadi dalam hidup kita. Apabila hati yang penuh dengan keimanan dan ketaqwaan yang menjadi raja, maka mudahlah untuk akal menjadi rakyat yang baik pada rajanya. Apabila akal telah ditakluk dengan keimanan dan ketaqwaan padaNya, maka lahirlah akal yang sentiasa berfikiran positif. Fikiran yang positif akan membentuk emosi yang stabil. Emosi yang stabil adalah jiwa yang tenang di saat menghadapi kesukaran,tiada ucapan keluh kesah,tiada penyesalan yang berpanjangan,  dan mampu tersenyum ketika ujian melanda dirinya.

 Namun jika nafsu yang merajai dalam diri..segalanya tidak bermakna lagi. Untuk itu,takluklah hatimu dengan keimanan dan ketaqwaan. Jangan biarkan nafsu yang memandu hidup kita..

"  Ketahuilah, bahawa di dalam jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik, maka baiklah seluruh jasad itu, dan bila ia rosak, maka rosaklah pada seluruh jasad. Ketahuilah, bahawa segumpal  daging itu adalah hati"
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)








Thursday, August 11, 2011

Rahmat di sebalik ujian


" Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"
(2:286)

Selagi hidup, selagi itulah kita akan terus diuji. Ujian itu hakikatnya adalah tanda kasih sayang Allah..kerna manusia itu bersifat alpa..sering terlalai dan terleka. Ujian itu ibarat jam loceng. Mengejutkan yang masih lena. Begitulah pentingnya ujian buat manusia. Menjadi penggera yang akan mengingatkan kita agar tidak terus terlana. Lena dengan kehidupan dunia yang fana.
Apabila kita dikejutkan dengan ujian, barulah kita akan tersedar. Sedar akan kehidupan realiti dunia ini…segalanya bersifat sementara..segalanya berada dalam kekuasaanNya..yang mengatur segala urusan. Barulah kita sedar dibumi mana kita berpijak. Barulah kita ingin kembali pada pemilik alam ini. Barulah kita nak merintih, merayu dan berdoa padaNya. Begitulah sifat manusia. Bila senang mudah lupa pada Pencipta. Bila susah baru nak ingat. Itulah hikmah ujian sebenarnya..mendekatkan seorang hamba pada Yang Maha Raja..

Bagi siapa yang sedang diuji..bersabarlah…(33:35) dan bersyukurlah kerna Dia masih mengasihi dan menyayangimu..

Ingatlah setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Dia tahu apa yang terbaik buat kita…( 2:216)

SALAM MUHASABAH...

Wednesday, August 10, 2011

Antara Dakwah, Ta'lim dan Tarbiah


Perkataan yang seperti kelihatan sama maksudnya
Namun hakikatnya punya maksud dan tafsiran yang berbeza
Apa yang sama adalah semuanya bermaksud untuk menerangi ummat dari kegelapan jahiliyah menuju cahaya nur keimanan

Antara dakwah,ta'lim dan tarbiah

Dakwah…
Proses mencetuskan kesedaran dalam beragama.
Seruan ke arah kebenaran
Bertujuan untuk menyentuh dan membangkitkan roh dan hati dengan sentuhan iman dan islam

Ta'lim…
Usaha mengajar,menyampaikan dan mencurahkan ilmu buat sasaran dakwah
Agar mereka yang telah tersentuh dengan dakwah dapat membekali diri dengan ilmu untuk memandu hidup agar lebih terarah
Agar kemungkaran dan kebenaran dapat dipisahkan
Agar dapat membezakan yang hak dan yang batil
Agar dapat membezakan yang halal dan haram
Agar jalan menuju akhirat dapat dicari

Tarbiyah…
Proses didikan dan bimbingan
Agar mereka dapat beramal dengan ilmu yang telah diperolehi
Proses yang lebih sukar
Memerlukan kesabaran dan keikhlasan hati
Agar tidak lelah di tengah jalan
Kerna ia bukanlah semudah dakwah dan ta'lim
Ia adalah proses membentuk manusia menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya

Dakwah..ta'lim…tarbiah…
Perlu digandingkan tanpa dipisahkan dalam usaha mengubah ummat yang semakin kritikal pada hari ini

Ayuh para pejuang
Bangkitlah dari lenamu yang panjang
Sahutlah seruan ilahi
Syahid atau menang
Tiada istilah kalah dalam kamus hidupmu
Ingatlah janji-janjiNya
Agar hidupmu lebih bermakna dan sentiasa dalam redhaNya
Serta Syurga yang menjadi destinasimu di sana
Biarlah kita bersusah dan berlelah disini
Asal kita dapat berehat di sana untuk selamanya..



" Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya"
( 2:207)