Tuesday, November 29, 2011

Di Kamar Hati Ini




Di kamar hati ini
Ada kehidupan abadi
Yang tersimpan khazanah
Yang teramat bernilai

Namun..
Saat kamar ini hilang cahayanya
Tiada lagi ketenangan
Yang ada hanyalah kegelapan

Aku cuba mencari kembali cahaya yang menerangi kamar hati ini
Aku keluar dari kamar ini
Cuba mencarinya di kamar hati teman-temanku
Tiba-tiba pandanganku menjadi begitu silau
Silau dengan cahaya itu
Aku berasa bahagia kerana telah menemui cahaya yang akan menerangi kegelapan kamar hatiku ini

Namun,
Itu hanyalah sementara
Aku tidak menemui ketenangan dengan cahaya itu
Mungkin kerna cahayanya yang menyilaukan
Pandangan mata hatiku terhadap kehidupan yang abadi mmenjadi kabur dikamar hatiku ini

Kemudian,
Pengembaraan diteruskan
Pelbagai rintangan dihadapi sepanjang perjalanan
Akhirnya..setelah penat mengembara
Aku kembali ke kamar hatiku ini
Pengalaman sepanjang perjalanan memberi kesedaran padaku..

Bahawa..
Cahaya itu masih ada dikamar hatiku ini
Cuma mata hatiku yang tidak dapat melihatnya
Mungkin kerna balasan dosa dan kealpaanku selama ini

Keinsafan mula menyapa diri
Air mata penyesalan gugur dipipi
Betapa banyaknya dosa-dosa dihati
Hingga cahaya hati ini hilang meninggalkan diri..

Mulai saat ini..
Aku bertekad dalam diri
Untuk menyuci jiwa dan hati
Agar cahaya hatiku kembali menerangi kamar hati ini
Aku kembali merenung ke dalam diri
Mencari erti kehidupan yang hakiki

Kini..
Ku telah temui cahaya itu..
Ia ada pada tuhanku yang satu
Ketenangan hati mulai hadir
Bahagia mula menyatu
Harapanku  Cuma satu
Aku ingin mati dalam redha dan rahmat tuhanku
Tidak ingin lagi cahaya hati ini pergi tinggalkanku
Moga cahaya ini kekal sepanjang hayatku
Sehingga aku bertemu tuhanku yang satu...

Sunday, November 20, 2011

Jaulah Walimah ke Sabak Bernam

Fonemena akhir tahun
Ramai yang menjadikan saat ini sebagai tarikh keramat dalam hidup mereka..
Seorang demi seorang akhwat yang telah mendirikan rumah tangga dan akan melaksanakannya tidak lama lagi..
Peristiwa hari ini sangat sangat mencuit hati sanubariku
Perkahwinan murabbiyah terchenta..huhu
Macam-macam perasaan ada..
Bahagia+ terharu+ sedih

Wednesday, November 16, 2011

Menjadi Soleh Dengan Berdakwah..


Menjadi soleh ( ahli kebaikan ) adalah sesuatu yang tidak mustahil bagi setiap muslim. Semua orang boleh jadi soleh. Semua orang sepatutnya menjadi soleh. Kerna ia adalah paksi yang menentukan darjat kita di sisi-Nya. Bukan perkara lain. Tetapi adalah nilaian TAQWA dalam diri.

Tetapi, bagaimana untuk menjadi soleh?

Banyak caranya..tapi disini saya ingin menekankan salah satu darinya..iaitu menjadi soleh dengan berdakwah..

Boleh ke macam tu??

Mungkin masih yang beralasan..diri masih belum sempurna..bagaimana ingin mengajak orang ke arah kebaikan?

Jika  nak menunggu diri benar-benar sempurna..bilakah saatnya? Takkan nak tunggu diri sempurna baru nak berdakwah? Kerna kita tidak akan pernah sempurna dek kerna kita hanyalah seorang insan yang lemah yang sering ternoda oleh dosa dan tumbang oleh bisikan nafsu yang menguasai..

Apa pun alasannya, kita tetap wajib  berdakwah meski diri masih punya banyak kekurangan

Mungkin ada juga yang beralasan..masih tidak memiliki ilmu yang cukup..inilah salah satu alasan yang biasa diberikan oleh kebanyakan orang untuk melepaskan tanggugjawab berdakwah ini.

Tapi, Nabi kan berpesan.." sampaikanlah walau satu ayat.."

Sampaikan ilmu yang kita ada walau sedikit. Kita tidak akan pernah untuk menguasai segala ilmu, kerna ilmu Allah ini terlalu luas..seluas lautan dan lebih dari itu..sampaikanlah apa yang kita tahu. Jangan biarkan ilmu itu hanya berada di dalam diri kita sahaja,tetapi sebarkanlah ke dalam jiwa-jiwa insan yang lain. Kerna imu itu ibarat air. Jika dibiarkan hanya di dalam takungan..hanya akan menyebabkan air itu menjadi busuk. Tetapi jika air itu dibiarkan mengalir..ia akan menjadi manfaat kepada orang lain. Sebaik-baik muslim adalah yang dapat bermanfaat pada orang lain. Moga ia menjadi salah satu penyumbang saham akhirat kita.

Masih belum bersedia??

Langkah yang panjang adalah bermula dari langkah yang pertama. Jadi cubalah untuk memulakannya dengan melakukan perkara-perkara yang mudah seperti melemparkan senyuman dan menunjukkan akhlak yang baik. Sampai bila kita nak tunggu diri bersedia..kita kena bermula sekarang..bukan esok..bukan bulan depan..bukan tahun depan..tapi saat ini..detik ini..insyaAllah..jika kita ada niat dan kesungguhan, Allah akan permudahkan jalan itu. .

" Dan sesiapa yang bersungguh-sungguh di jalan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami"
                                                                                            (29:69)


Saya memahami alasan-alasan tersebut kerna ia juga pernah hinggap di fikiran saya suatu ketika dahulu. Tetapi, alhamdulillah..tarbiyah telah menyedarkan saya. Saya telah difahamkan oleh mereka yang telah lama dalam dunia dakwah dan tarbiah bahawa ia merupakan salah satu penyakit mental yang dimasukkan syaitan dalam jiwa para dai'e yang ikhlas berjuang di jalan Allah. Syaitan memang tidak ingin dakwah dan tarbiah berkembang dan berkibar dimuka bumi. Maka, dicampakkanlah ke dalam hati pada dai'e sikap ragu-ragu terhadap kebaikan perbuatannya.

Human Basic Need
Selain merupakan kewajiban syari'at, dakwah juga merupakan keperluan manusia secara umumnya. Ini bermaksud, setiap manusia, di mana pun ia berada, tidak akan pernah bisa hidup baik tanpa dakwah. Dakwahlah yang akan menuntun manusia kepada kebaikan. Sedangkan menjadi ahli kebaikan adalah keperluan asas bagi setiap orang. Maka..jangan  pernah terfikir sedikitpun untuk menjauh dari dakwah dengan alasan apa pun. Justeru ketika merasa susah menjadi baik, maka dakwah inilah yang akan membantu kita memudahkannya. Semakin kita berasa berat meniti  jalan Islam, semakin besar pula keperluan kita terhadap dakwah.

Rasa Tanggungjawab
Satu kenyataan yang harus disedari..jika dengan mengajar kita akan lebih mampu menguasai isi sesuatu pembelajaran yang disampaikan, maka dengan dakwah kita akan mampu untuk menjadi lebih baik.

Mengapa??
Kerna ini berkaitan dengan rasa tanggungjawab sosial kita. Ertinya..jika kita mengajak orang lain pada kebaikan, pada saat yang sama sesungguhnya kita juga mengajak diri kita sendiri untuk menjadi seperti apa yang kita serukan kepada mereka itu. Secara automatiknya kita akan berusaha memperbaiki diri. Kerna kita akan berasa malu jika hanya mampu berkata tetapi tidak melaksanakannya dalam diri sendiri. Bahkan lebih dari dari sekadar rasa malu, kita juga akan merasa berdosa jika mengatakan apa yang tidak kita lakukan.

" Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
   Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu  mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan."
                                                                                ( 61:2-3)

 Rasa tanggungjawab ini akan tumbuh dan berkembang seiring dengan kedewasaan kita. Semakin matang kedewasaan kita, semakin besar pula rasa tanggungjawab itu akan tumbuh. Dalal hal ini, jika kita aktif berdakwah, maka rasa tanggungjawab itu akan tumbuh dengan sangat kuat dalam diri kita untuk menyesuaikan antara apa yang akan kita lakukan dengan apa yang kita katakan..

Kesimpulannya..
Dakwah adalah keperluan setiap manusia lebih-lebih lagi untuk sang dai'e. Menjadi soleh adalah kemestian atas setiap muslim..
Dan menjadi dai'e atau murabbi adalah jalan yang paling efektif untuk menjadi soleh.
Para Nabi dan rasul Allah adalah para dai'e, pejuang dan penegak agama Allah, di saat yang sama mereka juga harus mengamalkannya dalam kehidupan nyata..

" Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata, " Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"
Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah ( kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang ada rasa permusuhan antara kamu dan dia akan seperti teman yang setia. Dan ( sifat-sifat yang baik itu) tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar."
( 41:33-35)

Maka, pastikanlah anda adalah dai'e  dan murabbi, jika memang benar anda ingin menjadi orang yang soleh. Ikutilah jejak para nabi dan rasul yang tidak pernah kegiatan-kegiatan ibadah ( pengabdian) kepada Allah swt dengan aktiviti-aktiviti mengajak manusia ke jalan -Nya. Allah akan mengantarkan kita pada jati diri sebagai orang-orang yang soleh. InsyaAllah..


Thursday, November 3, 2011

Umat Akhir Zaman..


Saat ini..tika ini..kita telah ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi umat akhir zaman. Umat Nabi utusan terakhir, Nabi Muhammad SAW.

Zaman ini adalah zaman yang penuh pancaroba. Zaman ini adalah zaman fitnah.

Umat akhir zaman..
Semakin hari semakin larut..
Larut dengan kehidupan dunia..
Jauh dari Pencipta diri
Leka dengan keindahan fana
Terpesona dengan kecantikan palsu
Lupa hakikat tujuan dihidupkan
Hidup hanya untuk suka-suka
Tidak menyedari bahawa ada amanah yang perlu dipikul
Semakin cintakan dunia
Dan lupakan mati

Apabila dunia diletakkan dihati
Ketamakan akan mula menguasai diri
Zuhud entah hilang ke mana
Segalanya demi mengejar keuntungan duniawi
Lupa akan akhirat yang pasti

Iman dihati mula susut dari hari ke hari
Sensiviti diri mula pudar dalam diri
Saudara seiman tidak dipeduli
Apa yang penting diri sentiasa happy

Maksiat mula bermaharajalela
Segalanya dianggap perkara biasa
Agama dipisahkan dari kehidupan
Hiburan pula diagung-agungkan

Namun…
Tidak semua begitu
Masih ada sekelumit manusia
Yang masih punya kesedaran dalam diri
Agama kukuh tersemat dalam diri
Iman sentiasa diperbaharui
Allah menjadi tujuan hati
Bukan dunia yang dikejari
Tapi akhirat yang pasti
Biar penuh onak dan duri
Pegangan diri tetap terpatri
Kerna..
Yakin dengan janji-janji Ilahi
Yang benar dan pasti..

*pesanan dari Nabi…

Jadilah orang asing atau penyeberang jalan..

Dari Ibnu Umar ra. Berkata: Rasulullah saw memegang pundakku dan bersabda, " Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau penyeberang jalan."

Ibnu Umar ra. Berkata, " Jika kamu berada di petang hari, jangan menunggu pagi, dan jika engkau di pagi hari janganlah menunggu petang, gunakalah kesempatan saat enkau sihat,untuk menghadapi masa sakitmu dan gunakalah saat hiduplah untuk selepas kematianmu." ( HR Bukhari)


Monday, October 24, 2011

Memperbahrui Makna Dosa..


Dosa..perkara yang seringkali ditafsirkan sebagai melakukan larangan-Nya dan meninggalkan suruhan-Nya. Jua menganggap balasan melakukan dosa adalah siksaan-Nya di akhirat sana. Cukup setakat itu. Pemahahan yang menyebabkan manusia meremehkan perbuatan dosa terutama bagi mereka yang imannya ditahap yang kritikal. Keyakinan yang terhadap akhirat yang lemah menyebabkan manusia hidup atas kehendak nafsu sahaja. Segala perbuatannya hanyalah atas dasar keduniaan sahaja tanpa memikirkan akibatnya di akhirat sana.

Begitulah kesannya apabila iman di hati semakin susut. Kesusutan iman dihati adalah berpunca dari dosa dan maksiat yang dilakukan. Faktor yang menyebabkan manusia jatuh ke lembah dosa adalah kerana tewas dengan nafsu dalam diri serta kurangnya kesedaran dalam diri.

Dosa hakikatnya adalah perkara yang menyebabkan hubungan kita dengan Allah semakin jauh. Dosa juga adalah perkara yang menyebabkan hubungan sesama manusia tergugat. Dosa itu jahat kerana melawan dan merosakkan kemampuan dan tumpuan manusia untuk mempunyai hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia.

Dosa juga adalah sesuatu yang menyebabkan hati dan jiwa berasa gelisah apabila melakukannya. Kerna fitrah jiwa manusia adalah suci dan merindui kebenaran. Apabila pertentangan terjadi dalam diri, menyebabkan pelakunya akan diselubungi perasaan bersalah kerana telah melawan fitrah diri.

Apabila makna dosa telah jelas dalam diri, marilah kita bersama-sama membebaskan diri dari kesalahan dan belenggu dosa. Bagaimana untuk kita membebaskan dari dosa? Sedangkan kita adalah manusia yang lemah yang seringkali terikat dengan nafsu, kerna nafsu seringkali mengajak kita ke arah kejahatan.

Semuanya terletak pada diri kita sendiri hakikatnya. Allah mengurniakan kita akal yang dapat membezakan antara yang baik dan buruk. Nikmat akal ini haruslah digunakan sebaiknya. Seandainya kita mengabaikannya dengan tidak menggunakan akal pemberian Allah ini untuk berfikir, maka samalah taraf kita dengan haiwan malah lebih rendah lagi,kerna haiwan hanya mempunyai otak tetapi tidak dikurniakn akal yang khusus untuk manusia.

Gunakanlah akalmu serta hatimu untuk merenungi hakikat ini. Kerna kita adalah sebaik-baik ciptaan-Nya. Matikanlah keinginanmu terhadap dunia. Fokuskan hidupmu hanya untuk redha, rahmat, dan cinta ilahi. Hawa nafsu bermakna keinginan. Memundukkan hawa nafsu bermakna kematian baginya. Kematian hawa nafsu dapat membebaskan diri dari belenggu dosa dan kesalahan.

Dengan demikian, kesucian diri akan dapat dicapai. Diri yang suci dari noda dan dosa akan membuatkan jiwa selesa dan tenteram kerna tidak perlu lagi berperang. Hati yang tenang akan membawa kebahagiaan bukan sahaja didunia tetapi diakhirat sana.

" Wahai jiwa yang tenang..kembalilah kepada tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam Syurga-Ku"
(89: 27-30)

Tuesday, October 11, 2011

Nota Khas Buat Diriku dan Kalian..


Jika komitmen terhadap dakwah benar-benar ikhlas, maka tidak akan banyak daie yang berguguran di tengah jalan. Dakwah akan terus laju dengan lancar untuk meraih tujuan-tujuannya dan mampu menanam prinsip-prinsipnya dengan kukuh

Jika komitmen daie benar-benar ikhlas, maka dia tidak akan peduli ketika ditempatkan di barisan depan atau belakang. Komitmennya tidak akan berubah ketika dia diangkat menjadi pemimpin yang boleh mengeluarkan keputusan dan ditaati atau hanya sebagai jundi yang tidak dikenal atau dihormati.

Jika komitmen daie benar-benar ikhlas, maka semua orang akan sangat menghargai waktu. Bagi setiap daie,tidak ada waktu untuk terbuang sia-sia kerana dia akan selalu menggunakannya untuk beribadah keapada Allah di sudut mihrab, atau berjuang melaksanakan dakwah dengan menyeru kepada kebaikan atau mencegah kemungkaran. Atau, menjadi murabbi yang gigih mendidik dan mengajari anak serta isterinya di rumah. Daie yang aktif di masjid untuk menyampaikan nasihat dan membimbing masyarakat.

Jika komitmen daie benar-benar ikhlas,maka setiap daie akan segera menunaikan kewajipan kewangannya untuk dakwah tanpa dihinggapi rasa ragu sedikitpun. Semboyannya adalah : " Apa yang ada padamu akan habis dan apa yang ada disisi Allah akan kekal." (16:96)

Jika komitmen daie benar-benar ikhlas, maka setiap daie akan patuh dan taat tanpa berasa ragu dan bimbang. Di dalam benaknya tidak ada lagi keuntungan peribadi dan menang sendiri.

Jika komitmen daie benar-benar ikhlas,maka akan muncul fenomena pengorbanan yang nyata. Tidak ada kata 'ya' untuk dorongan nafsu atau segala sesuatu yang seiring dengan nafsu untuk berbuat maksiat. Kata yang adalah kata 'ya' untuk setiap perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah.

Jika komitmen daie benar-benar ikhlas,maka setiap anggota akan menaruh kepercayaan yang tinggi kepada para pemimpin fikrah. Setiap yang bergabung akan melaksanakan aspirasi pemimpinnya dan menegakkan prinsip-prinsip dakwah dalam hatinya.

Jika komitmen dakwah benar-benar ikhlas, maka setiap orang yang kurang teguh komitmennya akan menangis,sementara yang bersungguh-sunngguh akan menyesali dirinya kerana ingin berbuat lebih banyak dan berharap mendapat balasan serta pahala dari Allah

Komitmen memerlukan kesediaan jiwa yang membulat kepada Allah SWT. Mereka meyakini, meyerahkan sebulatnya diri mereka dan segala-galanya untuk deen Allah SWT. Kesanggupan unutk melalui apa juan rintangan,ujian, mehnah dan segala bentuk tribulasi menjadikan diri mereka semakin tabah dan kuat.

Dan, ketahuilah komitmen kita akan diuji dan terus diuji. Sama ada kita sedar, semakin hari ia semakin tertingkat dan ia saatnya, ia semakin menurun sehingga tersungkur menyembah bumi.

Soal diri kita,bagaimanakah komitmen kita sebagai mukmin dalam melaksanakan ubudiyah kepada Ilahi? Jiddiyah ( kesungguhan) , keiltizaman ( konsistensi) dan sifat disiplin yang ada dalam diri di tahap bagaimana?

Persoalan-persoalan ini harus dijawab dengan segera. Tanya hati kita, apakah jawapan yang akan kita berikan apabila inilah yang disoalkan kepada kita dihadapn Allah SWT?

Friday, October 7, 2011

Antara Wajah dan Hati


Peringatan buat diri sendiri..

Antara wajah dan hati. Yang manakah lebih kita jaga? Jika untuk menjaga wajah kita, kita sanggup menghabiskan puluhan malahan ratusan ringgit  demi menjaga kecantikan wajah kita..namun, apakah yang telah kita lakukan untuk mencantikkan hati kita?

Allah tidak memandangkan wajah dan rupa kalian. Namun Dia memandang akan hati kalian. Hati tempat  pandangan Allah. Andai benar kita benar-benar cintakan Allah, marilah kita berusaha mencantikkan hati kita dengan keindahan-keindahan yang menjadi penilaian Allah. Ikhlaskan hati kita. Biarlah hanya redha Allah yang kita kejar dalam hidup ini. Hiasinya juga keindahan budi pekerti dan akhlak yang mulia.

Usah terlalu risau andai kita tidak memiliki wajah yang cantik kerna hati yang cantik akan memancarkan cahayanya di wajah kita. Namun risaulah andai kita punya wajah yang cantik namun hati tidak seindah rupa yang cantik kurniaan Allah. Ingatlah, kita hanyalah makhluk Allah. Segalanya milik Allah. Tiada milik kita. Yang ada pada kita saat ini hanyalah pinjaman dari Dia yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat sana. Apa guna wajah yang cantik andai ia hanya menimbulkan fitnah. Biarlah diri kita berbangga andai kita memiliki hati yang cantik. Bukan berbangga dengan wajah yang cantik,namun hati tidak seindah mana. Ingatlah, kita hanyalah pinjaman Allah..mata..mulut..hidung..kaki..tangan..segalanya hanyalah pinjaman dari Dia. Untuk itu,manfaatkanlah ia sebaiknya dengan melakukan perkara-perkara yang mengundang keredhaan dan rahmat-Nya..bukan perkara yang mengundang kemurkaan-Nya. Kerna ia akan dipertanggungjawabkan suatu hari nanti. Saat itu, mulut terkunci kaku, hanya pancaindera yang lain akan bersuara menjadi saksi segala perilaku kita didunia ini.

Sesungguhnya, tiada yang abadi di dunia ini..segalanya bersifat fana..hargailah saat masih diberi ruang dan kesempatan menghirup oksigen di muka bumi ini sebelum segalanya kan  berakhir.

Pesanan ditujukan khas buat diriku yang sering lalai dan alpa..